Oleh
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Saya merasa
pelik kenapa umat Islam hari ini banyak membuang masa membincangkan dan
membahaskan perkara yang remeh-temeh, sedangkan banyak lagi perkara penting
dan serius yang perlu diteliti mendepani abad ke 21 ini. Isu- isu masa depan
agama Islam dan survival umat Islam adalah antara perkara utama yang perlu
diberikan perhatian berbanding isu remeh-temeh seperti sama ada wajar atau
tidak berarak, ketika menyambut maulidur rasul. Saya yakin semua rakyat
Malaysia yang faham dan sudah tahu akan jawapannya. Kenapa perlu dibahaskan
perkara yang sudah jelas, termasuk isu-isu lain seperti hukuman sebat ke atas
wanita yang telah dijatuhkan hukum oleh mahkamah dan pertikaian sesama
sendiri yang tidak pernah habis.
Sempena
keputeraan Rasulullah SAW, tidakkah lebih baik kita membincangkan sama ada
umat Islam berakhlak mengikut Baginda atau tidak? Perpecahan umat Islam yang
semakin menghancurkan dan banyak lagi perkara berkaitan dengan masa depan
kita di bumi bertuah ini. Berarak atau tidak menjelang maulidur rasul, itu
bukanlah soal akidah atau melibatkan hidup mati Islam. Yang lebih penting
adalah pengajaran daripada sambutan tersebut. Apa guna sambutan di buat
secara besar-besaran, sedangkan kesannya amat sedikit. Paling baik, sambutan
hebat, kesannya juga hebat atau sambutan sederhana, kesannya juga hebat.
Janganlah
berlaku sebaliknya, sambutan hebat, wang habis, impaknya kurang atau mungkin
sedikit. Paling teruk, sudahlah sambutan tiada, ingatan terhadap Junjungan
Besar semakin pupus. Apapun, sekurang-kurangnya sambutan maulidur rasul
mengingatkan kita kepada perjuangan Baginda. Begitulah indahnya budaya
masyarakat kita yang menunjukkan rasa dan cara kecintaan kepada Baginda SAW.
Kalau kita
meninjau sirah, Baginda tidak pernah sama sekali membiarkan hidup sia-sia
dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kehidupan Baginda adalah
kehidupan yang berkualiti dalam setiap saat yang berlalu. Setiap detik
digunakan bagi tujuan jihad fisabilillah, dalam erti kata memastikan Islam
dan umatnya terus menjadi hebat, berketrampilan dan berkualiti. Lebih
membanggakan lagi, Islam tersebar ke segala ceruk rantau dunia. Inilah
kemantapan perjuangan Baginda yang mesti kita ikuti dan contohi.
Selain daripada
kemantapan akidah, asas utama perlu dimulakan dengan ikatan perpaduan dan
persaudaraan. Kedua-dua elemen adalah asas kekuatan. Kita hanya ada satu
Rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah rujukan kita
bersama Al-Quran yang diwahyukan. Cara hidup dan peraturan yang dibawa
terbukti mampu mencipta kegemilangan yang disanjungi dan kagumi dunia, tidak
ada yang mempertikaikannya, termasuk bukan Islam. Ini kerana, cara hidup
Baginda adalah yang terbaik sebagaimana Islam yang dibawa Baginda. Justeru,
tidak timbul isu untuk mempertikaikan kredibiliti Baginda dari apa jua sudut
sekalipun, untuk diikuti pada hari ini. Michael Hart (2007), menempatkan
Baginda sebagai orang yang paling hebat di dunia berbanding tokoh-tokoh
terhebat dalam sejarah tamadun dunia. Masihkah kita ragu-ragu?
Justeru, tidak
timbul pertikaian sesama Islam berhubung isu atau masalah yang telah selesai
dan telah ada jalan penyelesaiannya. Misalnya berkaitan hukuman sebat ke atas
penzina dan peminum arak. Mahkamah syariah, sumber tertinggi perundangan
Islam negara, berkaitan hal ehwal umat Islam, telah memutuskan, maka
hormatilah keputusan tersebut. Kepakaran hakim-hakim yang amat arif dalam
bidang mereka tidak sepatutnya dipertikaikan. Kenapa beberapa NGO wanita Islam
seperti cacing kepanasan? Siapa yang kena sebat sebenarnya? Kenapa perlu
membuang masa mengadakan protes sana protes sini. Kita seolah-olah bertindak
bagi pihak orang bukan Islam. Mereka tidak perlu bertindak lagi kerana kita
sudah jadi wakil. Kita menghina keputusan mahkamah dan agama sendiri. Apakah
tindakan ini wajar? Tidakkah kita sedar bahawa mereka bertepuk tangan melihat
kita semakin jauh dari agama dan sunnah Baginda. Tidak bersatu dan bersaudara
dalam banyak perkara.
Apakah kita
mahu terus membiarkan umat Islam terus melakukan maksiat tanpa diberikan
pengajaran? Apakah kita takut nanti kalangan kita yang kena sebat dengan
perlaksanaan hukuman tersebut? Kenapa terlalu beriya-iya memperjuangkan hak
asasi manusia? Saya teramat ingin melihat kita turut memperjuangkan hak-hak
Allah selain hak asasi manusia. Barulah kita boleh mendapat penghormatan
orang lain. Saya tidak mengatakan bahawa hukuman yang sedang berjalan
seratus-peratus mengikut syariat, tetapi sekurang-kurang sudah ada jalan
perintis ke arah itu. Hormatilah, kerana ia di bawah bidang kuasa mereka yang
pakar. Budaya merujuk pakar mesti dihidupkan supaya yang bukan pakar tidak
memandai-mandai. Jika baca Quran pun masih merangkak-rangkak, eloklah
bertanya kepada yang lebih arif. Jangan bertindak seperti jahil berlagak
pandai, akhirnya memakan diri.
Pesalah mesti
dihukum. Kita tidak boleh melepaskan mereka terus bermaharajalela. Seks bebas,
arak, dan maksiat yang lain ibarat dadah, selalunya ketagih. Melepas yang
bersalah adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam setelah proses
kaunseling atau nasihat tidak meninggalkan kesan. Kemungkaran mesti
dibenteras, jika tidak ia akan menjadi barah dalam masyarakat, seterusnya
merebak merosakkan orang lain.
Inilah bentuk
pemikiran yang dikatakan oleh Eleanor Roosevelt, Great minds discuss ideas.
Average minds discuss events. Small minds discuss people. Hari ini kita tidak
habis-habis bincang pasal orang yang kita tidak suka, bukannya idea yang
dibawanya. Idea atau perancangan ini pula ada baik dan buruknya. Yang baik
diterima walaupun mungkin ia datang daripada musuh kita, manakala idea yang
buruk bukan sahaja kita perlu menolak, malah pada masa sama kita perlu
bersedia menentang. Misalnya, perancangan ultra kiasu dengan idea Malaysian
Malaysia. Antara idea-idea mereka mahu menghalalkan apa yang diharamkan oleh
Islam atas nama hak asasi manusia seperti seks bebas, arak, judi dan
sebagainya. Kita tidak menghalang jika mereka mahu melakukannya, tetapi idea
ini tidak akan membawa kebaikan umat Islam, malah akan menghuru-harakan
negara. Maka kita perlu menolak dan bersedia untuk menghadapi mereka
bila-bila masa, sama ada dari segi hujah, fakta dan tindakan. Sepatutnya kita
membincang bahaya yang bakal menimpa jika kita biarkan idea-idea orang yang
menentang Islam ini bermaharajalela, terutama kerosakan yang bakal diterima
oleh orang kita.
Ini tidak, kita
asyik menyalahkan orang, siapa benar, siapa salah. Membincangkan perkara yang
kecil akan menjadikan minda kita kerdil, tidak kreatif dan inovatif. Ini
tidak termasuk cara hidup kita yang lain seperti lebih suka membincangkan
kehidupan artis-artis berbanding kehidupan para ilmuan dengan hasil kajiannya
dan negarawan dengan pengalamannya. Di negara maju, para ilmuan, negarawan,
usahawan dan professional yang benar-benar terbukti cemerlang akan disanjung.
Martabatnya dipandang tinggi dan dijemput untuk mengajar di universiti dan
diberikan anugerahkan gelaran profesor walaupun mungkin tidak ada
penyelidikan yang dibuat. Penghargaan diberikan atas dasar ilmu dan
pengalaman yang hebat sepanjang hidupnya.
Berbanding
dengan kita, sudahlah budaya ilmu sedemikian tidak seadanya, malahan kita
menggalakkan budaya memuja segelintir artis yang kehidupan mereka tidak
habis-habis dilanda dengan kontroversi dan gosip-gosip yang tidak membangun
minda. Perbincangan seperti ini hanya akan mematikan minda dan tidak menuju
kepada kualiti hidup. Sudah sampai masa kita meniru cara pemikiran masyarakat
maju yang meletakkan ilmu dan ilmuan di tempat yang tinggi berbanding perkara
lain yang tidak berfaedah. Bahan-bahan bacaan atau buku-buku yang dibaca oleh
mereka juga berkualiti tinggi, berbanding dengan masyarakat negara membangun
yang lebih suka membaca makalah hiburan dan berita-berita picisan.
Perlu diingat, jika kita
membaca dan membincangkan perkara-perkara besar, secara tidak langsung minda
kita menjadi lebih besar, seterusnya melahirkan umat berjiwa besar. Jika tidak,
kita akan terus membuang masa dengan bertikai perkara yang remeh dan kerdil.
Perkara besar yang seharusnya difokuskan oleh umat Islam hari ini adalah
berkaitan dengan perpaduan umat Islam dan hala tuju umat Islam mendepani abad
ke 21 serta kekuatan pertahanan dalam menghadapi ancaman musuh. Kita
sepatutnya serius membincangkan perancangan musuh melalui gerakan freemason
yang mahu mencairkan akidah dan memusnahkan umat Islam melalui pakatan mereka
dengan beberapa parti pembangkang dan NGO sewaktu dengannya.
Gerakan ini
nampaknya sudah masuk ke dalam individu dan pertubuhan orang Islam.
Matlamatnya mahu memisahkan kehidupan beragama. Agama dianggap sebagai
sesuatu yang merbahaya. Mengelakkan umat Islam daripada bersatu, pada masa
sama mahu mematikan semangat jihad umat Islam. Jika dahulu sasaran freemason
adalah Kristian, hari ini sasarannya adalah umat Islam setelah jatuhnya
sistem sosialis.
Kejatuhan
sistem sosialis telah memberikan masa depan yang cerah kepada freemason
kembali bertapak kukuh pada akhir kurun ke 20. Sistem ekonomi diwujudkan
dalam bentuk baru dan dinamakan sistem ekonomi kapitalis moden yang
berselindung di sebalik nama globalisasi ekonomi. Nama globalisasi gunakan
oleh freemasonry untuk penutup penjajahan order baru imperialis ke atas dunia
Islam.
Fathi Yakan dan
Yusuf Al-Qardhawi melihat globalisasi sebagai proses hegemoni atau penguasaan
politik, ekonomi, budaya dan sosial Amerika Syarikat ke atas dunia khususnya
dunia Islam dan dunia ketiga melalui proses pembaratan dan ‘mengAmerikakan’ mereka.
Mereka juga berjaya menipu negara-negara ini dengan istilah ekonomi tanpa
sempadan atau ekonomi bebas dan terbuka.
Globalisasi
ekonomi ini amat merbahaya disebabkan perancangan jahat freemasonry melalui
teori 20-80. Hanya 20 peratus kekayaan negara Islam dimiliki dan selebihnya
80 peratus dibiarkan berada dalam kemiskinan. Tujuannya tidak lain untuk
menguasai mereka. Langkah seterusnya gerakan ini ialah dengan melalaikan
negara Islam sedang membangun dengan hiburan yang merosakkan. Media massa dan
teknologi maklumat tanpa sempadan digunakan bagi menjayakan cita-cita mereka
sehingga menyebabkan pusat-pusat hiburan berleluasa, nyanyian melalaikan dan
pelacuran meningkat.
Kesimpulannya,
apakah mungkin penentangan yang kuat terhadap undang-undang sebat dan
mahkamah syariah Islam ada kaitannya dengan gerakan freemason yang sedang
hangat diperkatakan hari ini? Kenapa yang mungkar seperti hiburan dan maksiat
yang merosakkan tidak ditentang? Sama-sama kita fikirkan. Pada saya, tanpa
disedari gerakan ini telahpun masuk ke dalam sesetengah individu dan
pertubuhan umat Islam. Ini menyebabkan ada segelintir daripada kita sudah
tidak sensitif lagi dengan masalah dan masa depan Islam dan umat Islam. Umat
Islam bercakaran dan bertentangan sesama sendiri. Kita lebih kecoh dengan
perkara kecil, berbanding perkara besar akhirnya fikiran menjadi kecil.
Sedangkan kita tahu Rasul kita menuntut supaya kita sentiasa mengambil berat
semua perkara besar berkaitan dengan kehidupan kita. Sabda Nabi
Muhammad SAW: “Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang
urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang
Islam)”.
Dr. Mohd
Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
RIDHUAN TEEMingguan Malaysia, 28 Februari 2010
|
125 banduan fail petisyen dakwa didera warden penjara
-
PETALING JAYA - Seramai 125 banduan di sebuah penjara di utara tanah air
yang mendakwa diri mereka didera warden menandatangani petisyen menggesa
ker...
9 months ago